Sunday, 10 August 2014

Artis:Penantian dua tahun

SEJAK mendirikan rumahtangga bersama Ahmad Aznaim Abdullah dua tahun lalu, pertanyaan mengenai anak sering menjadi topik 'wajib' bagi Ana Raffali dan suaminya.

Itu bukanlah satu perkara yang luar biasa lantaran seperti yang kita sedia maklum, pertanyaan sebegitu sudah menjadi lumrah yang perlu dihadapi oleh pasangan yang mendirikan rumahtangga.

Cuma kalau tidak kena cara dan tempatnya, soalan yang baik boleh dianggap 'membunuh' perasaan pasangan terbabit.



Perkara itu satu ketika pernah terpalit pada Ana dan Naim. Meski pada awalnya agak tergugat dengan segala pertanyaan itu, Ana bagaimanapun tidak mahu mengambil serius kerana tahu bahawa segalanya terletak di tangan yang Maha Esa.

Tidak dinafikan di dalam hati kecilnya, sebagai seorang wanita dan isteri, Ana juga teringin untuk memiliki cahaya mata bagi melengkapkan keluarga kecilnya.

Barangkali doanya diperkenan Tuhan, Ana kini mengukir senyuman bahagia apabila disahkan hamil dan kandungannya kini berusia 10 minggu.

"Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan saya ketika ini. Memanglah kami mahu anak tapi andai belum rezeki siapalah kami untuk memaksa keadaan. Kami jenis tenang sahaja menunggu waktu. Lagipun keluarga tak adalah memberi tekanan sangat. Jadi kami relaks sajalah," katanya.

Bercerita lanjut kata Ana, sewaktu pertama kali mendapat tahu mengenai berita itu, rasa tidak percaya jelas menyelimut hatinya memandangkan sebelum itu pernah beberapa kali insiden 'tersilap tafsir' berlaku.

"Sebelum ini kalau haid datang lambat sikit, cepat-cepat saya pergi beli alat ujian kehamilan dan buat pemeriksaan sendiri di rumah. Beberapa kali pernah tersalah anggap. Keputusannya negatif. Tapi awal Ramadan lalu, saya dapati perubahan pada diri.

"Gerak hati mengatakan macam 'ada'. Jadi saya buat pemeriksaan. Ternyata positif. Masa itu sebenarnya tak tahu nak buat reaksi macam mana. Bahkan sampai sekarang pun saya dan suami macam tak percaya yang kami bakal jadi ibu dan ayah. Penantian kami selama ini akhirnya membawa kegembiraan," katanya.

Rezeki amalan sihat

Mengaku tidak mengalami alahan teruk kata penyanyi lagu Tolong Ingatkan Aku ini, sebelum mendapat tahu dirinya hamil, dia mengamalkan cara hidup yang sihat termasuk menjaga pemakanannya.

Merasakan itu antara faktor penyumbang kehamilannya kata Ana, dia percaya amalan gaya hidup sihat sedikit sebanyak membantu pasangan yang berusaha mahu mendapat cahaya mata.

"Kerja macam saya ini kadangkala tak tentu masa. Malah makan juga tak terjaga selain jadual seni yang padat. Mungkin itu penyebab kenapa saya dan suami agak sedikit lewat dikurniakan anak meski saya tahu ada lagi orang lain yang menunggu lebih lama untuk dikurniakan rezeki ini.

"Namun sejak awal tahun lalu saya dan suami mengamalkan gaya hidup sihat. Apabila difikir semula ada logiknya kerana tubuh wanita memang secara fitrahnya dibekalkan dengan nutrisi dan sesuai untuk tujuan kehamilan.

"Tetapi kalau tubuh badan tak dijaga dengan baik, sukar untuk proses kehamilan itu terwujud. Alhamdulillah, usaha saya ini berhasil," katanya.

Dijangka akan melahirkan bayi sulungnya itu pada Mac depan kongsi Ana, dia juga tidak menolak bahawa perancangan Allah SWT itu sangat sempurna dan tepat pada waktunya.

"Macam saya katakan tadi, rezeki datangnya daripada Tuhan. Hanya Dia yang tahu bila waktu yang sesuai dan tepat untuk saya dan suami memiliki anak. Di samping itu kami berusaha dan berdoa kepada-Nya.

"Mungkin juga sebelum ini kami tidak dikurniakan anak lagi kerana kami belum bersedia. Sama ada dari segi masa, persediaan fizikal dan mental, pendek kata semuanya. Ternyata Allah SWT itu lebih tahu," ujarnya.

Mengaku tidak mengidam makanan yang pelik-pelik seperti sesetengah wanita hamil lain kata Ana, dia bersyukur keadaan itu tidak berlaku pada dirinya.

Cuma menurut penyanyi berusia 29 tahun ini, dia tidak boleh membiarkan perutnya kosong tidak terisi dan kerap kali akan muntah dan loya jika tidak makan.

"Alhamdulillah saya tak mengalami alahan teruk. Cuma saya kena makan saja. Makan pun tak adalah yang aneh-aneh. Kalau teringin nak makan, biasanya makanan yang masih boleh didapati di mana-mana dan tidaklah menyusahkan suami. Satu lagi, saya tak boleh makan apa-apa suplemen macam sebelum ini.

"Apapun saya bersyukur juga kerana suami saya begitu memahami dan sanggup melayan kerenah saya sewaktu hamil ini," katanya.

Merancang untuk melancarkan album keduanya di pasaran pada waktu terdekat ini bagaimanapun dia berada dalam dilema kerana kehamilannya itu.

"Maklumlah wanita mengandung kerap jatuh sakit. Itu sesuatu yang normal. Jadi dalam hati timbul juga rasa bimbang kalau-kalau tidak dapat merealisasikan hasrat melancarkan album baru.

"Namun Insya-Allah, saya tak putus berdoa agar dapat melaksanakannya sebelum saya bersalin nanti," katanya lagi.--Utusan
Read More

Tragedi:Lori masuk rumah

Sungai Petani: Seorang wanita berusia 28 tahun bersama dua anaknya berumur setahun dan empat tahun nyaris maut apabila sebuah lori tanah hilang kawalan sebelum merempuh rumah mereka di Kampung Tepi Sungai di Sungai Lalang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam, lori tanah yang datang dari arah pekan Sungai Lalang dan dipercayai dipandu laju hilang kawalan selepas melalui jambatan lalu merempuh rumah mangsa.



Lori terbabit sepatutnya membelok masuk ke jalan di sebelah kiri jambatan namun gagal berbuat demikian selepas breknya didakwa tidak berfungsi.

Ia menyebabkan pemandunya gagal mengawal kenderaan berat terbabit lantas merempuh rumah mangsa yang terletak 100 meter daripada jambatan.

Menurut mangsa, Zalinadia Ali, ketika kejadian, dia baru membawa dua anaknya ke dapur selepas selesai menyuap mereka dengan makanan di ruang tamu.--Hmetro
Read More

Tragedi: Mayat wanita dalam beg

Gemas: Mayat seorang wanita dipercayai mati dijumpai dalam sebuah beg pakaian di dalam longkang di Taman Gemas Jaya di sini, jam 5 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Wooi Kooi  Cheang ketika ditemui di lokasi memberitahu, beg berwarna hitam itu dijumpai oleh seorang pekerja sebuah kedai perabot berhampiran lalu menghubungi polis.



Beliau berkata, sebaik menerima maklumat sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Tampin dan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri yang diketuai oleh beliau sendiri bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

Katanya, pemeriksaan mendapati beg yang biasanya digunakan untuk melancong itu zipnya dikunci dengan mangga serta diikat dengan tali.

"Polis menjumpai mayat seorang wanita berusia lingkungan 20-an, lengkap berpakaian baju T gambar Mickey Mouse dan berseluar biru.

"Pemeriksaan fizikal mendapati ada luka bersaiz 6 cm di dahi mangsa dipercayai dihentak dengan objek tumpul, kedua belah tangan lebam dan dua jari tangan kiri hancur," katanya.

Menurut Wooi, di dalam beg sama polis menjumpai beberapa helai  baju.

"Kes disiasat mengikut Seksyen  302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk  bedah siasat," katanya.--Hmetro
Read More

Artis: Neelofa nak undur diri?

CANTIK sungguh Neelofa sejak bertudung penuh. Syed tengok bukan main ramai lagi peminat wanita ini yang gembira dengan perubahannya.

Dalam pada itu ada beberapa sumber yang rapat dengan pengacara ini mengatakan bahawa dia bakal meninggalkan program MeleTOP sebaik sahaja musim ini berakhir.



Betul ke? Syed terkejut juga sebab tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba sahaja dia mahu mengundurkan diri.
Menurut sumber ini lagi khabarnya Neelofa merasakan dirinya kurang sesuai lagi untuk mengendalikan rancangan hiburan apatah melibatkan cerita gosip dan sebagainya.

Jika benar Neelofa mengundurkan diri mungkin Nabil juga akan terkena tempias. Tak mustahil untuk mereka menggantikan tempat Nabil dengan orang lain juga.

Syed rasa gandingan Neelofa dan Nabil memang cukup sesuai dan sepadan. Lagi pun peminat memang suka dengan mereka.

Lagi satu rancangan MeleTOP pun bukannya memaparkan rancangan gosip yang melampau, rasanya kalau Neelofa terus mengendalikan rancangan ini pun tak mengapa.

Khabarnya lagi ada nama yang sudah dipilih oleh pihak produksi jika gandingan Neelofa-Nabil digugurkan. Siapakah orangnya?

--Utusan
Read More

Artis: Ibu Sahkan Raffi Ahmad Bernikah

TEKA-TEKI tarikh pernikahan pelakon dan pengacara Indonesia Raffi Ahmad dengan kekasihnya Nagita Slavina akhirnya terjawab.

Pasangan itu merancang untuk melangsungkan pernikahan pada 17 Oktober depan.



Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh ibu pengacara program Dahsyat itu iaitu Amy Qanita.

"InsyaAllah mereka akan bernikah pada 17 Oktober depan," ujarnya ringkas seperti dipetik daripada Detikhot.

Bagaimanapun, katanya, Raffi hanya akan melaksanakan upacara akad terlebih dahulu. Manakala majlis resepsi belum diumumkan lagi.--mStar
Read More

Penyanyi: Aril Pilus Beri Tempoh Hingga Hujung Tahun Kepada Isteri

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan penyampai radio Era FM, Aril Pilus memberi tempoh sehingga hujung tahun ini kepada isterinya Puteri Erma Edlinda Megat Aminuddin, 28, untuk meneruskan kerjayanya sebagai pramugari di Saudi Arabian Airlines.

Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus, 29, berkata, dia membuat keputusan tersebut bagi merancang masa depan sebuah keluarga yang sempurna.



"Saya bagi tempoh dia bekerja hingga hujung tahun ini sahaja, saya mahu dia duduk Malaysia dan bekerja di sini sahaja, kalau boleh saya mahu dapat cahaya mata tahun depan.

"Selama kami berkahwin memang agak sukar untuk berjumpa kerana dia menetap di Jeddah dan terpaksa mengambil cuti panjang jika ingin balik ke Malaysia," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Era FM, di Restoran Bora Ombak, di sini, Sabtu.

Bagaimanapun, Aril berkata, dia tidak menghalang isterinya untuk terus bekerja dalam bidang pernerbangan.

Katanya, dia menghormati minat dan kerjaya isterinya dalam bidang tersebut yang sudah hampir enam tahun dalam industri penerbangan.

"Saya tahu dia sangat berminat dengan kerjaya dia sekarang, dia sering bercerita tentang kapal terbang dan apa juga pengetahuannya tentang penerbangan.

"Saya tidak menghalang dia untuk terus terlibat dalam bidang tersebut terutama dibahagian tenaga pengajar," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang insiden pesawat MH370 dan MH17 yang berlaku kepada Syarikat Penerbangan Malaysian Airlines (MAS), Aril berkata perkara tersebut seringkali menjadi kebimbangan ketika isteri bertugas.



Jelasnya, ia merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi dia untuk membuat keputusan tersebut.

"Siapa yang tidak bimbang tentang insiden seperti itu, di negara Timur Tengah lebih banyak pergolakkan seperti itu,

"Kejadian yang menimpa MH370 dan MH17 membuatkan saya lebih menghormati kerjaya sebagai pramugari, tidak semua orang sanggup bekerja dengan risiko yang tinggi setiap hari," katanya.

Sementara itu, Aril berkata, dia tidak membenarkan isterinya menceburi bidang seni selepas berhenti daripada kerjaya pramugari itu nanti.

Katanya, jadual sebagai selebriti yang tidak menentu akan menyukarkan untuk membina sebuah keluarga yang sempurna.

"Dia pernah berlakon dahulu dan kawan-kawan baik dia juga ramai artis, namun saya rasa biar saya seorang sahaja jadi selebriti," ujarnya.--mStar
Read More