Itu bukanlah satu perkara yang luar biasa lantaran seperti yang kita sedia maklum, pertanyaan sebegitu sudah menjadi lumrah yang perlu dihadapi oleh pasangan yang mendirikan rumahtangga.
Cuma kalau tidak kena cara dan tempatnya, soalan yang baik boleh dianggap 'membunuh' perasaan pasangan terbabit.
Perkara itu satu ketika pernah terpalit pada Ana dan Naim. Meski pada awalnya agak tergugat dengan segala pertanyaan itu, Ana bagaimanapun tidak mahu mengambil serius kerana tahu bahawa segalanya terletak di tangan yang Maha Esa.
Tidak dinafikan di dalam hati kecilnya, sebagai seorang wanita dan isteri, Ana juga teringin untuk memiliki cahaya mata bagi melengkapkan keluarga kecilnya.
Barangkali doanya diperkenan Tuhan, Ana kini mengukir senyuman bahagia apabila disahkan hamil dan kandungannya kini berusia 10 minggu.
"Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan saya ketika ini. Memanglah kami mahu anak tapi andai belum rezeki siapalah kami untuk memaksa keadaan. Kami jenis tenang sahaja menunggu waktu. Lagipun keluarga tak adalah memberi tekanan sangat. Jadi kami relaks sajalah," katanya.
Bercerita lanjut kata Ana, sewaktu pertama kali mendapat tahu mengenai berita itu, rasa tidak percaya jelas menyelimut hatinya memandangkan sebelum itu pernah beberapa kali insiden 'tersilap tafsir' berlaku.
"Sebelum ini kalau haid datang lambat sikit, cepat-cepat saya pergi beli alat ujian kehamilan dan buat pemeriksaan sendiri di rumah. Beberapa kali pernah tersalah anggap. Keputusannya negatif. Tapi awal Ramadan lalu, saya dapati perubahan pada diri.
"Gerak hati mengatakan macam 'ada'. Jadi saya buat pemeriksaan. Ternyata positif. Masa itu sebenarnya tak tahu nak buat reaksi macam mana. Bahkan sampai sekarang pun saya dan suami macam tak percaya yang kami bakal jadi ibu dan ayah. Penantian kami selama ini akhirnya membawa kegembiraan," katanya.
Rezeki amalan sihat
Mengaku tidak mengalami alahan teruk kata penyanyi lagu Tolong Ingatkan Aku ini, sebelum mendapat tahu dirinya hamil, dia mengamalkan cara hidup yang sihat termasuk menjaga pemakanannya.
Merasakan itu antara faktor penyumbang kehamilannya kata Ana, dia percaya amalan gaya hidup sihat sedikit sebanyak membantu pasangan yang berusaha mahu mendapat cahaya mata.
"Kerja macam saya ini kadangkala tak tentu masa. Malah makan juga tak terjaga selain jadual seni yang padat. Mungkin itu penyebab kenapa saya dan suami agak sedikit lewat dikurniakan anak meski saya tahu ada lagi orang lain yang menunggu lebih lama untuk dikurniakan rezeki ini.
"Namun sejak awal tahun lalu saya dan suami mengamalkan gaya hidup sihat. Apabila difikir semula ada logiknya kerana tubuh wanita memang secara fitrahnya dibekalkan dengan nutrisi dan sesuai untuk tujuan kehamilan.
"Tetapi kalau tubuh badan tak dijaga dengan baik, sukar untuk proses kehamilan itu terwujud. Alhamdulillah, usaha saya ini berhasil," katanya.
Dijangka akan melahirkan bayi sulungnya itu pada Mac depan kongsi Ana, dia juga tidak menolak bahawa perancangan Allah SWT itu sangat sempurna dan tepat pada waktunya.
"Macam saya katakan tadi, rezeki datangnya daripada Tuhan. Hanya Dia yang tahu bila waktu yang sesuai dan tepat untuk saya dan suami memiliki anak. Di samping itu kami berusaha dan berdoa kepada-Nya.
"Mungkin juga sebelum ini kami tidak dikurniakan anak lagi kerana kami belum bersedia. Sama ada dari segi masa, persediaan fizikal dan mental, pendek kata semuanya. Ternyata Allah SWT itu lebih tahu," ujarnya.
Mengaku tidak mengidam makanan yang pelik-pelik seperti sesetengah wanita hamil lain kata Ana, dia bersyukur keadaan itu tidak berlaku pada dirinya.
Cuma menurut penyanyi berusia 29 tahun ini, dia tidak boleh membiarkan perutnya kosong tidak terisi dan kerap kali akan muntah dan loya jika tidak makan.
"Alhamdulillah saya tak mengalami alahan teruk. Cuma saya kena makan saja. Makan pun tak adalah yang aneh-aneh. Kalau teringin nak makan, biasanya makanan yang masih boleh didapati di mana-mana dan tidaklah menyusahkan suami. Satu lagi, saya tak boleh makan apa-apa suplemen macam sebelum ini.
"Apapun saya bersyukur juga kerana suami saya begitu memahami dan sanggup melayan kerenah saya sewaktu hamil ini," katanya.
Merancang untuk melancarkan album keduanya di pasaran pada waktu terdekat ini bagaimanapun dia berada dalam dilema kerana kehamilannya itu.
"Maklumlah wanita mengandung kerap jatuh sakit. Itu sesuatu yang normal. Jadi dalam hati timbul juga rasa bimbang kalau-kalau tidak dapat merealisasikan hasrat melancarkan album baru.
"Namun Insya-Allah, saya tak putus berdoa agar dapat melaksanakannya sebelum saya bersalin nanti," katanya lagi.--Utusan
0 comments:
Post a Comment