Sehubungan itu Hakim Syarie iaitu Shaiful Azli Jamaludin terpaksa menangguhkan permohonan pengesahan lafaz cerai yang dibuat pelakon itu kepada 11 Jun depan bagi membolehkan lafaz cerai kali pertama difailkan.
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 37, sebelum itu mendedahkan kepada mahkamah suaminya pernah memberitahu seorang kenalan bahawa mereka sudah bercerai dan mengakui terkejut apabila diberitahu mengenai perkara itu.
“Lafaz kali pertama itu tidak dibuat kepada saya tetapi dia memberitahu kepada seorang kenalan bahawa kami sudah bercerai dan apabila saya dimaklumkan mengenai perkara itu saya merujuk perkara berkenaan kepada bapa saudara suami di Kelantan untuk mengetahui sama ada ia sah atau pun tidak.
“Apabila diberitahu lafaz dibuat itu sah kami rujuk secara perbuatan tanpa melaporkannya kepada mahkamah,” jelas Abby kepada mahkamah.
Pelakon drama bersiri Gerak Khas itu turut memberitahu kejadian itu berlaku pada Januari lalu.
Terdahulu, Abby selaku plaintif memberitahu mahkamah, Muhammad Noor Farhan telah menghantar mesej Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepadanya berbunyi “Aku ceraikan kau” dan diikuti “Mulai hari ini kau dah tiada apa-apa hubungan dengan aku” pada 9 Mei lalu.
Pasangan itu membuat permohonan di kaunter mahkamah untuk menfailkan lafaz cerai kali pertama yang dibuat oleh Muhammad Noor Farhan pada Januari lalu.
Jelas Abby, SMS yang dihantar kira-kira pukul 10.25 pagi itu dibuat oleh defendan selepas mereka bertengkar pada malam sebelumnya ekoran suaminya itu tidak pulang ke rumah.
“Semasa saya terima SMS berkenaan saya berada di dalam kereta namun saya tidak ingat ada atau tidak membalas mesej itu untuk mendapatkan kepastian daripadanya.
“Kejadian berpunca selepas terdapat perselisihan faham yang berlarutan sehingga dia tidak balik rumah pada malam sebelum dia melafazkan cerai menerusi mesej,” katanya kepada mahkamah.
Muhammad Noor Farhan ketika disoal balas oleh Shaiful Azli mengakui ada menghantar SMS berkenaan dan memang berniat untuk menceraikan isterinya itu.
Sementara itu, Abby ketika ditemui diluar mahkamah memberitahu, dia reda dengan ketentuan terhadap perkahwinannya dengan Muhammad Noor Farhan namun masih berharap ia dapat diselesaikan secara baik.-Mstar
0 comments:
Post a Comment