Tuesday, 12 August 2014

Artis: Ruang hidup Nora Danish

// // Leave a Comment
JAUH di corong telefon, terdengar suara serak manja milik Nora Danish meminta maaf kerana temu bual kami tertunda untuk beberapa kali.

Usai berbasa-basi termasuk saling berbalas ucapan raya, bicara kami mula serius. Mula masuk kepada topik yang ingin dibincangkan.



Ini tentulah tentang pencapaiannya menjadi selebriti Malaysia pertama yang berjaya mengait sejuta pengikut di laman Instagram miliknya minggu lalu.

Nora turut menjawab mengenai pendiriannya menolak tawaran untuk menjadi duta produk kecantikan bagi dua produk terkenal dunia sebagai sokongan kepada Palestin.

Pada masa yang sama, aktres genit ini menjawab tohmahan liar tentang dirinya sebagai pendatang Myanmar.

Selain itu topik yang wajib ditanya juga tentang fasa percintaannya bersama Nedim serta perancangan hubungan jangka panjang antara mereka.

Lantas kami mulakan bicara mengenai popularitinya di media sosial. Ditanya adakah dia berasa dirinya popular, lama Nora terdiam.

Perlahan kemudian dia menjawab: "Boleh tak kalau saya tak jawab soalan ini sebab saya tidak mahu orang menyalah tafsir jawapan saya menjadi riak."

Namun selepas dijelaskan agar dia memberi jawapan secara rawak, Nora mendefinisikan popular sebagai sesuatu yang perlu buat golongan anak seni sepertinya.

Secara berhati-hati dia menghuraikan bahawa dirinya seorang wanita yang ringkas dengan menjalani kehidupan serba sederhana. Tidak ada yang glamor dan menjadikan ia popular.

"Bagaimanapun, jika bercakap dari konteks pekerjaan saya sebagai anak seni, tidak saya nafikan bahawa populariti amat penting untuk kelangsungan karier saya. Namun, populariti itu perlu seimbang dengan pakej yang baik," katanya.

Nora kemudian menyambung bahawa dia terharu kerana menjadi selebriti Malaysia pertama yang mempunyai pengikut mencecah satu juta orang.

Mengaku lebih banyak selebriti tempatan yang lebih popular daripadanya dan sering memuat naik gambar-gambar menarik, namun 'kelebihannya' barangkali terletak pada kekerapannya memuat naik gambar serta pengikut terjumpa Instagramnya menerusi ruang carian Explore.



Katanya: "Saya percaya banyak orang menemui Instagram saya menerusi ruangan Explore sebelum mengikuti aktiviti saya.

"Ia sama seperti yang saya lakukan. Saya misalnya akan mengikuti Instagram milik wanita cantik, ruangan fesyen dan pemilik akaun yang mempunyai 'cerita' keluarga mereka yang menarik perhatian saya."

Sementelah dikenal satu juta orang seluruh dunia, Nora kemudian memberitahu bahawa konteks penggunaan laman sosial tersebut kini telah bertukar warna.

Jika sebelum ini dia memiliki Instagram tanpa tujuan yang serius kecuali mengikuti perkembangan semasa, sebaliknya kini laman sosial tersebut selain masih digunakan untuk memberitahu aktiviti dan perkembangan terkini, ia dijadikan medan untuk menyalurkan pesanan positif dan menyampaikan maklumat yang berguna untuk semua.

Dia berasa bertanggungjawab untuk menyebarkan sesuatu yang mampu merubah kehidupan bersama secara positif.

"Jika peminat yang mengikuti saya sejak dulu, mereka akan perasan perbezaan Instagram saya.

"Dulu saya hanya buat suka-suka, muat naik gambar selfie atau aktiviti saya termasuk kadang-kadang saya luahkan perasaan di situ.

"Namun, kini ia berbeza. Saya berasa lebih perlu berhati-hati dalam setiap perkara yang saya lakukan selain bertanggungjawab untuk menyalurkan sesuatu yang positif," katanya yang terkejut disapa pengikutnya di Instagram sewaktu bercuti di Indonesia baru-baru ini.

Ditanya bagaimana bertahan dengan ragam pejuang keyboard yang lebih gemar mencari silap, Nora ketawa.

Kata Nora, dia realistik dan faham bahawa manusia memang suka mencari silap daripada mencari kebaikan.

Ulas pelakon itu, sebagai manusia biasa, dia tidak mampu mengawal pemikiran sejuta pengikutnya.

Lantas, kunci untuk bertahan dengan semua perkara mengarut yang diserang balas dalam setiap gambar yang dimuat naik ialah mengabaikannya.

"Selalunya, saya memang tak baca komen yang ditinggalkan. Lantaklah mereka nak bergaduh sesama mereka kerana kalau dilayan, akan berpanjangan. Hanya saya memang akan buang semua komen yang lucah," katanya yang mengakui usia 10 tahun menjadi anak seni banyak mengajarnya untuk tidak terlalu ambil peduli tentang perkara remeh yang dilemparkan kepadanya.

Kahwin, tunggu dulu

Menerusi Instagram miliknya juga, Nora begitu terbuka berkongsi gambar dan aktivitinya bersama teman lelakinya, Nedim.

Terkini, gambar Nora yang dilihat banyak menghabiskan masa bersama keluarga Nedim termasuk pada hari raya dan menghadiri majlis dalam kalangan keluarga Nedim menyemarakkan berita perkahwinan mereka yang didakwa sudah semakin dekat.

"Belum mahu kahwin. Sebenarnya jangan salah faham juga, kalau melihat banyak gambar saya bertandang ke rumah keluarga Nedim, ia bukan sebagai satu usaha untuk merapatkan hubungan saya dengan mereka untuk restu berkahwin.

"Tanggapan itu salah kerana kunjungan tersebut tidak membawa makna seperti orang dulu-dulu yang konon sedang merisik atau sebagainya.

"Sebaliknya, ia hanya kunjungan biasa di antara sahabat untuk mengeratkan silaturahim sesama kita. Lagipun, sama seperti saya berkunjung atau menghabiskan masa bersama Nedim dan keluarganya, saya lakukan hal yang sama bersama rakan rapat yang lain juga," ulas Nora.

Untuk kesekian kalinya juga, Nora menjelaskan bahawa perancangan perkahwinan buat mereka berdua masih belum dilakukan.

Mengakui sedang mabuk asmara, namun untuk membulatkan hati bernikah buat kali kedua dalam masa terdekat memang tiada dalam agenda mereka berdua.

"Sebab kami sama-sama sedar diri bahawa kami bukan lagi punya pemikiran seperti zaman muda dahulu.

"Mahu kahwin dan tidak melihat jauh tentang institusi ini. Sebaliknya, dengan kegagalan perkahwinan masing-masing, kami menjadi lebih takut jika percintaan ini tidak berakhir dengan baik.

"Jadi, bila orang tanya atau cakap tentang perkahwinan antara kami, bukan tidak pernah difikirkan, namun saya rasa jalannya masih panjang. Biar ia terjadi nanti. Ini kerana pada masa sekarang, kami lebih mementingkan adakah kami saling mampu bertahan dan tersenyum dengan sikap buruk masing-masing kerana kelak jika berkahwin sikap ini yang akan kami hadap setiap hari.

"Betul, pemikiran saya tentang perkahwinan sudah jauh berbeza daripada dulu. Jadi, tunggu dan doakan," katanya panjang lebar.

Satu yang pasti, Nora menegaskan, jika ditakdirkan dia berkahwin lagi, dia hanya mahu mengadakan sebuah majlis pernikahan serba ringkas di masjid tanpa sebarang hantaran.

"Dulu saya sudah pernah merasa naik pelamin dan kahwin serba mewah. Kali ini, biarlah cukup dengan akad nikah saja. Saya juga tidak suka pembaziran," katanya ringkas.

Juga, besar impiannya untuk memiliki seorang anak perempuan selepas mempunyai seorang anak lelaki, Putera Rayqal hasil perkahwinan terdahulu yang kini berusia lima tahun.

Demi Palestin

Sementara itu, begitu prihatin dengan ketegangan dan kemusnahan yang berlaku di Palestin akibat diserang Israel, Nora yang sepatut- nya menjadi duta dua produk kecantikan terkenal dunia telah menolak tawaran tersebut sebagai tanda sokongannya terhadap bumi Palestin.

Katanya, itu sahaja sumbangan yang termampu dilakukannya sebagai salah seorang Muslim yang bertanggungjawab dan peka terhadap nasib umat Islam di benua lain.

"Sebenarnya saya telah ditawarkan untuk menjadi duta bagi dua produk tersebut bulan lalu. Saya juga sudah bersetuju untuk menjadi wajah baharu mereka, namun sudah menjadi kelaziman saya hanya akan menandatangani kontrak sewaktu hadir pada sesi fotografi.



"Apabila Palestin dibedil dengan teruk dan melihat banyak nyawa kanak-kanak tidak berdosa melayang begitu sahaja, saya terpanggil untuk memeriksa butiran tentang produk-produk itu.

"Ternyata selepas disiasat, mereka mempunyai pejabat dan sangkut paut dengan Israel, lantas saya tidak teragak-agak untuk membatalkan tawaran tersebut.

"Mungkin, apa yang saya lakukan tidak sebesar mana tapi saya percaya sekecil-kecil bantuan walau dalam apa bentuk sumbangan juga dikira," katanya yang memberitahu rezeki sentiasa ada dalam pelbagai bentuk.

Bercakap tentang tindakan memboikot produk bersangkutan Israel yang lain, Nora dengan rendah hati memberitahu bahawa dia bimbang untuk menyeru atau memberi sebarang kenyataan.

Sebaliknya kata Nora, ia bergantung kepada kesedaran masing-masing dan pada masa yang sama jangan melakukan sesuatu perkara mengikut emosi.--Kosmo

0 comments:

Post a Comment