Tuesday, 1 July 2014

Amar Baharin Kesal Fitnahnya Dengan Izreen Azminda Masih Tersebar

// // Leave a Comment
PETALING JAYA: Pelakon Amar Baharin kesal apabila masih ada pihak yang menyebarkan fitnah mengenai hubungannya dengan aktres Izreen Azminda apabila mereka dikatakan sedang hangat bercinta sejak sama-sama terlibat dalam drama bersiri, Kerana Terpakssa Aku Relakan (KTAR).

Amar atau nama sebenarnya Amar Mohd Baharin, 29, berkata, perkara itu tidak sepatutnya diperbesarkan kerana hubungan mereka hanya sekadar teman biasa seperti mana diperjelaskan oleh Izreen sebelum ini.

"Saya tidak nafi kami bercinta tetapi cuma dalam KTAR sahaja dan di luar kami sekadar kawan baik dan saya kesal dengan tindakan sesetangah pihak yang menyebarkan fakta-fakta yang mereka sendiri tidak tahu kebenarannya.



"Saya harap di bulan baik ini (Ramadan) hentikanlah daripada terus bercakap tentang perkara tidak benar dan saya berharap pihak berkenaan insaf," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Drama bersiri yang diarahkan oleh Azma Aizal Yusof itu sedang ditayangkan menerusi slot Akasia di TV3 pada setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 7 malam.

Dalam pada itu, Amar berkata, pandangan negatif sesetengah pihak selepas mereka memuat naik gambar bersama bagi tujuan mempromosikan drama berkenaan di laman sosial Instagram turut menjadi faktor mereka dipandang serong.

Kata Amar, biarpun sudah dijelaskan tentang tujuan berkenaan namun masih ada pihak yang tidak berpuas hati dan melemparkan kata-kata negatif.

"Bagi yang memandang negatif terhadap tindakan memuat naik gambar kami di laman Instagram untuk tujuan promosi, maka jadi negatif la ia.



"Bagaimanapun majoriti peminat yang mengecam tindakan itu adalah sebahagian sahaja kerana selebihnya menyukai dengan cara kami mempromosikan drama ini," ujarnya.

Sementara itu, Amar berkata, dia tidak terkejut sekiranya namanya kembali suram apabila gosip melandanya itu reda kerana itu adalah hakikat dunia hiburan.

"Saya rasa terkejut juga apabila nama 'Amar Baharin' menjadi tumpuan kerana gosip berkenaan sedangkan sebelum ini nama saya hendak keluar setahun sekali pun susah.

"Tapi itu adalah hakikat dunia hiburan dan saya sudah terbiasa dengan kehidupan seperti ini dan andai kata lagi sebulan dua nama saya kembali suram, saya tidak  terkejut pun," katanya.

Dalam perkembangan lain, Amar berkata, sepanjang bulan Ramadan tahun ini dia akan menghabiskan masa dengan melakukan aktiviti amal bersama keluarga dan peminatnya.


Malah dia akan meluangkan masa untuk menghadiri majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur dan Singapura bersama peminatnya.

Dalam pada itu Izreen kini masih dalam tempoh edah selepas bercerai dengan Muhammad Riza pada 10 Jun lalu.
Pasangan berkenaan berkahwin pada 31 Ogos 2012 dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Adrian Umar yang kini berumur 11 bulan.-mStar

0 comments:

Post a Comment