Thursday, 5 June 2014

Bukan kehendak hidup menjanda

// // Leave a Comment
KESEDIHAN yang melanda pelakon Izreen Azminda saat rumah tangganya dilanda badai tidak sesekali membuatkan pelakon berusia 29 tahun itu lemah.

Itu jelas terlihat daripada raut wajah yang dipamerkan dan juga kata-kata yang disusun pelakon langsing itu saat bertemu dengannya di lokasi penggambaran drama Kerana Terpaksa Aku Relakan di Kota Damansara, Selangor.

Sungguhpun rumah tangga yang dibentuk dengan lelaki pilihan Muhamad Riza Baharuddin, 31, bakal menemui titik penamat sejak mereka memfailkan perceraian pada 14 Mei lalu, namun, Izreen tidak mahu kesedihan yang merenggut jiwanya saat ini terbawa-bawa dalam langkahnya untuk meneruskan kehidupan.

Saat ini pelakon itu masih menunggu tarikh perbicaraan perceraiannya yang dijangka pada bulan ini.


Enggan mengulas lanjut mengenai apa yang terjadi kerana perkara itu sudah menjadi kes mahkamah, ibu kepada anak lelaki, Adrian Umar, 11 bulan, berkata, dia perlu kuat untuk meneruskan hidupnya.

Membuang jauh perasaan sedih dan kecewa, Izreen mengakui tidak mahu melayan perasaannya. Dia kini memberi fokus dengan meneruskan baki penggambaran drama Kerana Terpaksa Aku Relakan yang bakal tamat pada 16 Jun ini.

"Apabila terjadinya perkara ini (perceraian), siapa-siapapun akan berasa sedih dan sudah hati. Rasa tidak seronok datang ke lokasi penggambaran. Tetapi, saya tolak ke tepi dan buang semua perasaan yang melanda saat ini.

"Saya tidak mahu benda-benda negatif itu ada dalam diri. Saya tidak mahu disebabkan saya semua orang dalam drama ini terasa kesannya. Saya tidak mahu cuti atau melayan perasaan.

"Sebab saya fikir kalau saya cuti, kalau saya sedih, saya tetap kena hadap benda ini. Tetap kena datang penggambaran juga. Jadi saya fikir untuk positifkan diri. Datang ke lokasi dan kerja seperti biasa. Perasaan sedih itu tinggalkan di rumah," luah Izreen.

Hak

Tidak pernah terfikir menjadi ibu tunggal atau hidup menjanda dan terpaksa membesarkan anak seorang diri, kata Izreen, perkara yang terjadi bukan kehendaknya.

Kata Izreen, musibah yang menimpa bukan dirancang. Tidak ada pasangan yang mahukan perpisahan selepas membina rumah tangga.


"Jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Mungkin rezeki saya tiada dengan Muhamad Riza. Tidak perlu bersedih. Hidup hanya sekali. Anak menjadi semangat saya untuk melalui fasa sebagai ibu dan membuatkan pemikiran saya lebih matang dan positif," ungkapnya.

Ditebak sama ada dia sanggup berbaik semula dengan Muhamad Riza sekali gus mengenepikan perasaannya sendiri demi kebahagiaan anak, Izreen menolak perkara tersebut.

Seraya menarik nafas, Izreen memberitahu, dia lebih selesa menganggap jurukamera bebas itu sebagai kawan dan dalam masa yang sama tidak menuntut sebarang hak sebagai isteri.

"Saya tidak mahu tuntut apa-apa daripada dia. Saya cuma mahu dia jalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa. Bagi nafkah dan makan dan minum untuk anak. Industri ini tidak besar. Saya tetap akan jumpa dia. Saya tidak mahu anak berasa jauh. Saya mahu anak berasa yang kami masih satu keluarga lagi," jelasnya yang memberitahu, tidak menyesal mengenali dan mengahwini Muhamad Riza.

Sebagai manusia, Izreen mengakui dia juga ada melakukan kesilapan. Namun benda buruk yang berlaku dalam hidupnya adalah pengajaran buat dirinya.

"Saya tidak mahu ulas lanjut apa yang terjadi sebab benda sudah lepas. Untuk akan datang, saya akan ambil langkah berjaga-jaga. Apa yang boleh saya kongsikan, jangan sesekali membuat keputusan dalam keadaan marah," tuturnya lagi.


Watak Indah

Mengajak dia keluar daripada berbicara tentang belenggu rumah tangganya, Izreen semangat bercerita tentang watak Indah Halina yang dimainkan di dalam Kerana Terpaksa Aku Relakan.

Ceritanya, Indah merupakan seorang wanita kampung tetapi mempunyai pendidikan tinggi.

Bagaimanapun, kata Izreen, watak Indah dalam drama berbeza dengan di dalam novel. Watak Indah diubah dalam drama demi mengikut logik dan persekitaran masa kini.

"Watak Indah dalam drama lebih berwarna. Tetapi jalan cerita masih kekal. Memang pada awalnya saya berasa sedikit takut dengan perubahan watak Indah.

"Ini kerana saya ada menerima beberapa komen peminat yang terdiri daripada pembaca novel Kerana Terpaksa Aku Relakan yang bertanya kenapa watak Indah tidak sama seperti dalam novel. Namun, apabila masuk episod kelima drama tersebut, ramai yang sudah boleh menerimanya," ulas Izreen mengenai wataknya dalam drama yang sedang ditayangkan di TV3, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 7 petang.

Bergandingan dengan pelakon Amar Baharin, Izreen mengakui senang bekerjasama dengan pelakon itu kerana ia adalah kali ketiga mereka digandingkan.

Izreen juga mengakui selesa bekerjasama dengan pengarah, Azma Aizal Yusoof kerana dia dapat kebebasan dalam melontarkan dialog tanpa berpandukan skrip.

Usai penggambaran drama itu, Izreen memberitahu, akan bercuti bersama anaknya dan kemudiannya menyambung semula penggambaran selepas Aidilfitri ini.-Kosmo

0 comments:

Post a Comment