Nama aktor dan aktres itu pernah menjadi sebutan ramai dahulu menerusi kisah cinta mereka dalam filem Sembilu, Sembilu 2 dan Tragedi Oktober.
Ironinya, percintaan mereka turut berlaku di luar bidang kerja serta pernah mengikat tali pertunangan dahulu.
Namun begitu, kisah cinta mereka itu sudah tinggal sejarah dan masing-masing mempunyai haluan hidup sendiri, tetapi ia bukanlah satu halangan untuk mereka terus digandingkan dalam mana-mana filem.
Biarpun pernah berlakon bersama selepas cinta mereka berakhir seperti filem Maria Mariana 2 dan Cuci, ternyata pembabitan Awie dan Erra dalam Warna Cinta Impian agak menarik perhatian umum.
Ini kerana mereka belum pernah bersatu di dalam filem sejak sekian lama, sementelah status Erra sebagai seorang ibu tunggal setelah bercerai dengan suaminya, Engku Emran manakala Awie pula berhadapan dengan masalah rumah tangga yang dialaminya sekarang bersama isterinya, Rozana Misbun.
Mengulas mengenai pembabitan Erra yang turut membintangi filem berkenaan, Awie atau pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman itu menyatakan bahawa tiada sebarang masalah buat dirinya kerana masing-masing bertindak secara profesional.
Tegasnya, apa yang berlaku antara dirinya dan Erra dahulu sudah menjadi sejarah dan tidak harus diungkit lagi. Malah, dia bersyukur kerana masih ada lagi pihak yang terus memberikan kepercayaan kepada mereka.
"Tiada apa lagi yang perlu diperkatakan antara hubungan saya dan Erra. Meskipun kami pernah bercinta dan bertunang sebelum ini. Kini, kami sudah ada kehidupan masing-masing dan sebagai rakan, saya sentiasa mendoakan kebahagiaannya.
"Tidak dinafikan dahulu saya memang agak rasa kekok kalau berjumpa dengannya, tetapi sekarang kami sudah boleh bergurau dan saya anggap Erra merupakan salah seorang kawan baik saya," ujarnya yang sebelum ini bergandingan dengan Erra menerusi konsert Teaterikal Suara Kita pada Mac lepas.
Menceritakan pembabitan awal dalam filem itu, Awie yang juga merupakan vokalis Wings berkata, semuanya bermula dengan pertemuan bersama pihak Touchtronic Entertainment beberapa bulan lalu.
"Sebenarnya, saya pernah menolak untuk berlakon dalam filem ini disebabkan sudah terikat dengan beberapa pekerjaan yang lain. Jadi, saya bimbang kalau tidak mampu memberi sepenuh komitmen kalau menerimanya.
"Bagaimanapun, pihak penerbit masih lagi berkeras mahu saya berlakon. Setelah melihat kesungguhan mereka yang tidak berhenti memujuk, akhirnya ia telah membuka pinta hati saya untuk berlakon," ujarnya.
Selain itu, Awie menyatakan, antara faktor yang membuatkannya memberi persetujuan untuk terbabit dalam filem berkenaan setelah penerbit bersetuju memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan.
Antaranya, penerbit akan bersikap terbuka untuk menerima pandangan yang diberikan oleh para pelakon agar perjalanan cerita yang akan dipaparkan menjadi lebih menarik dan memenuhi cita rasa penonton.
"Saya tidak kata yang jalan cerita filem ini kurang bagus, tetapi sebagai pendatang baharu dalam industri perfileman tempatan, mereka perlu mendengar dan mempertimbangkan setiap idea yang diberikan," jelasnya.
Jadual padat
Bercerita tentang aktivitinya selepas bercuti menyambut Aidilfitri, Awie berkata, dia kini sudah memulakan latihan untuk pementasan teater Supermokh Sebuah Muzikal Restaging.
Menurutnya, memandangkan teater tersebut akan dipentaskan di Istana Budaya pada 8 hingga 21 September ini, dia perlu memberikan sepenuh tumpuan terhadap latihan yang dijalankan.
"Kalau diikutkan jadual saya selepas Aidilfitri memang sangat padat. Selain sibuk dengan latihan pementasan teater, penggambaran untuk filem Warna Cinta Impian juga akan bermula pada bulan ini.
"Sekarang saya perlu susun semula jadual kerja supaya tidak berhadapan dengan masalah yang lebih rumit seperti pertembungan jadual penggambaran filem dan latihan teater," jelasnya.
Ujar Awie, selain terbabit dengan filem Warna Cinta Impian dan teater Supermokh Sebuah Muzikal Restaging, dia akan terbabit dengan beberapa projek lain, tetapi ketika ini dia mahu memberi fokus terhadap kedua-dua produk tersebut terlebih dulu.
Rindu berlakon bersama
Bagi pelakon dan penyanyi Fazira Wan Chek atau Erra Fazira pula, antara faktor utama yang menyebabkan dia tertarik untuk membintangi filem Warna Cinta Impian kerana rindu berlakon bersama Awie yang pernah menjadi gandingannya dahulu.
Erra berkata, dia percaya peminat juga pasti menantikan gandingan mereka semula dan filem berkenaan telah membuka ruang buat dirinya dan Awie untuk tampil dalam sebuah filem.
"Saya sedar pasti akan ada segelintir pihak yang akan memperkatakan tentang pembabitan kami dalam filem ini, tetapi saya percaya ia mampu menjadi salah satu tarikan utama dan tentunya ramai yang ingin menyaksikan gandingan kami.
"Secara jujurnya, saya tidak kisah kalau ada yang mahu mengimbas semula nostalgia percintaan kami dalam filem terdahulu. Cuma, tidak perlulah mengungkit lagi segala kisah peribadi kami yang sudah lama berakhir," luahnya.
Sementara itu, Erra menyatakan dia bersetuju berlakon dalam filem arahan N.S Krishna itu kerana melihat semangat yang ditunjukkan oleh penerbit ketika sesi perbincangan dilakukan.
"Saya kagum dengan sikap keterbukaan yang ditunjukkan oleh penerbit dan pengarah yang sentiasa menerima sebarang idea daripada pelakon. Langkah sebegini wajar dipuji agar sesebuah filem itu dapat dihasilkan dengan baik," ujarnya.
Selain Awie dan Erra, filem Warna Cinta Impian yang menelan kos sebanyak RM1.5 juta turut dibintangi oleh beberapa pelakon lain seperti Azlee Khairi, Nelydia Senrose dan Shikin Kamal serta pelakon kelahiran Singapura iaitu Erwin Shah Dawson.--Kosmo
0 comments:
Post a Comment