KOTA BHARU - Hasrat seorang pembantu juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17, untuk pulang beraya di kampung halaman, di Kedai Melor di sini, tidak kesampaian selepas maut dalam nahas udara di sempadan timur Ukraine malam semalam.
Mangsa Ahmad Hakimi Hanapi, 29, yang berkhidmat selama empat tahun bersama syarikat penerbangan terbabit, meninggalkan seorang balu dan anak lelaki tunggal berusia setahun.
Datuk mangsa, Daud Abdul Kadir, 80, berkata, cucu ketiga dari empat beradik itu merupakan seorang yang ceria serta sering mengambil berat soal keluarganya.
“Tahun ini dia beria-ia untuk pulang ke kampung dan pada malam Rabu lalu, dia ada menelefon neneknya untuk bertanya khabar mengenai kami sekeluarga dan keadaan rumah yang diubah suai hasil wang yang diberikannya.
“Kami amat gembira dengan perkhabaran itu, namun terkejut menerima berita mengenai nahas udara yang melibatkan cucu saya, selepas menerima panggilan telefon dari anak di Kuala Lumpur kira-kira 11 malam semalam.
Daud berkata, terkejut menerima perkhabaran itu, dia terus membuka televisyen dan melihat berita yang dipaparkan mengenai kejadian itu.
“Dalam perbualan telefonnya baru-baru ini, suaranya dalam nada gembira dan tidak menunjukkan sebarang petanda, namun apa pun kami reda dengan pemergiannya kerana apa yang terjadi merupakan takdir dan ketentuan ALLAH SWT," katanya.
Sementara itu, menurutnya, Allahyarham juga turut menyatakan dia akan bercuti panjang pada tahun ini dan kembali ke kampung sama ada dengan memandu kereta sendiri atau menaiki pesawat dan dijangka akan pulang pada 25 Julai ini.
“Namun cuti panjangnya itu, rupa-rupanya disambut kami dalam keadaan sedih apabila menerima berita kematiannya," katanya.
Daud berharap mayat cucunya itu dapat ditemui dan dibawa pulang untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Melor di sini.
Dalam insiden terbabit seramai 280 penumpang, termasuk 15 anak kapal maut selepas pesawat Boeing 777 berkenaan didakwa ditembak puak pengganas yang melepaskan peluru berpandu sehingga menyebabkan kapal terbang terbabit terhempas di kawasan padang berhampiran sebuah perkampungan di sempadan Ukraine malam semalam. --- Sinar Harian
Hasrat co-pilot pulang beraya tidak kesampaian
In
//
//
Leave a Comment
0 comments:
Post a Comment